Apakah yang Mengecewakan Cikgu?
Dalam menjalankan tugas harian kita sebagai guru, tentu ada pelbagai keadaan yang menyebabkan kita kecewa. EP telah mengajukan soalan "Apakah yang paling mengecewakan Cikgu semenjak menceburi bidang keguruan ini?" kepada 40 orang guru di 10 buah sekolah di 4 buah negeri. 14 orang responden mengatakan bahawa mereka tidak mempunyai sebarang kecewa sepanjang menjadi guru. Oleh sebab respons bagi soalan ini dianggap sensitif pihak EP tidak tidak akan menyiarkan nama responden.Semua pendapat yang diberikan adalah peribadi yang tidak mencerminkan pendapat semua guru secara tuntas, tetapi wajar direnungi bersama.
"Ada sesuatu yang ingin saya katakan sebagai menjawab soalan saudara tetapi kurang sedap didengar. Yang paling mengecewakan saya ialah apabila menerima arahan daripada pihak-pihak atasan untuk melaksanakan sesuatu program atau aktiviti sama ada kurikulum atau kokurikulum tetapi peruntukan kewangan tidak diberikan. Program ini mungkin dalam bidang sukan atau apa-apa yang berbentuk pertandingan.Saya tidak perlukan huraikan dengan lebih lanjut kerana pasti Pengetua dan Guru Besar seperti saya sedia maklum. Harapan yang diletakkan oleh pihak Jabatan semakin meninggi, tetapi bantuan semakin menurun." Begitulah repons pertama daripada seorang Pengetua di sekolah rendah pinggir bandar yang ditemui.
"Yang paling mengecewakan saya ialah apabila melihat segelintir ibu bapa yang tidak mengambil berat tentang pendidikan anak-anak mereka. Golongan ini juga tidak memberikan kerjasama langsung kepada pihak sekolah dalam apa-apa program yang dijalankan, sedangkan kita(pihak sekolah) berkorban masa dan wang ringgit demi kebaikan anak-anak mereka juga. Mereka tidak sedar bahawa sokongan ibu bapa amat penting untuk memastikan anak-anak berjaya dalam pendidikan. Ibu bapa di negera kita ini dianggap bersalah di sisi undang-undang jika tidak menyekolahkan anak-anak mereka. Mungkin sudah tiba masanya digubal undang-undang yang boleh diambil tindakan terhadap ibu bapa dengan sengaja cuai, atau tidak mengambil berat atau tidak memberikan kerjasama kepada pihak sekolah," kata seorang sekolah menengah yang agak popular di ibu kota.
Seorang guru Bahasa Inggeris yang mengajar pelajar Tingkatan Lima pula antara lain mengatakan :"Saya berasa kecewa apabila ibu bapa menyalahkan guru-guru apabila anak-anak mereka gagal dalam peperiksaan atau tidak menunjukkan prestasi seperti yang diharap-harapkan. Lebih mengecewakan saya ialah apabila anak-anak mereka berjaya mendapat keputusan yang cemerlang, bukan guru sekolah anaknya yang mendapat pujian atau pengiktirafan, sebaliknya guru-guru yang mengajar di pusat tuisyen yang di angkat."
Seorang pengetua yang sempat ditemui pula mengatakan bahawa beliau berasa kecewa apabila melihat ibu bapa yang bukan sahaja mengambil sikap menyebelahi anak-anak mereka apabila berlaku sesuatu yang berkaitan dengan masalah disiplin murid, malah menyalah pihak sekolah pula dengan alasan cuai atau tidak prihatin terhadap masalah anak-anak mereka.
Seorang pengetua di sebuah sekolah di luar bandar pula mengatakan bahawa yang paling mengecewakan beliau ialah apabila pihak sekolah kehilangan mana-mana pelajar. Kehilangan itu bermaksud pelajar yang tidak mahu datang ke sekolah setelah pelbagai usaha dijalankan oleh pihak sekolah.
"Saya menganggap pihak sekolah telah kehilangan pelajar ini dan tidak dapat menyelamatkannya, lebih-lebih lagi pihak ibu bapanya sendiri tidak melakukan sebarang usaha untuk mengembalikan anak mereka itu ke sekolah. Ada pelajar yang kita tahu melalui pengalaman bahawa sangat berpotensi untuk cemerlang dalam pelajaran jika diberi peluang, tetapi ada yang di luar kawalan kita sehingga kita tidak tahu punca yang menyebabkan pelajar ini hanyut dan 'membazir' hidupnya begitu sahaja," kata beliau lagi.
"Saya juga pernah berada dalam situasi seperti itu.Ketika di tingkatan empat dahulu pada tahun 70-an, prestasi saya sangat teruk. Saya kerap gagal dalam hampir semua mata pelajaran. Tetapi nasib saya baik. Guru-guru saya banyak memberikan nasihat dan mendorong saya untuk cuba memberikan tumpuan yang lebih terhadap pelajaran saya. Mereka seolah-olah tidak kenal erti berputus asa untuk memberikan semangat kepada saya sehingga akhirnya saya sedar an semasa di tingkatan lima prestasi saya meningkat dengan mendadak sehingga saya pernah mendapat temapt pertama di dalam kelas.Kini apabila saya melihat ada pelajar yang seperti saya suatu ketika dahulu saya akan cuba membantu mereka.Apabila tidak berjaya saya sangat kecewa,"kata beliau sambil mengimbau kenangan lama.
Seorang guru di sekolah menengah harian di bandar berkata bahawa beliau berasa amat kecewa sekiranya para pelajar ponteng kelas tambahan.Pelajar memberikan pelbagai alasan termasuklah tidak ada kenderaan dan ibu bapa enggan menghantar mereka ke kelas tambahan ujung minggu. Ada juga yang memberikan alasan mereka perlu pergi ke kelas tuisyen dan ada juga yang berkata bahawa mereka perlu membantu ibu bapa mereka di gerai dan sebagainya."Saya lebih kecewa kerana pihak pengurusan sekolah masih mengarahkan para guru mengadakan kelas tambahan pada hari minggu walaupun sudah tahu tidak ada sambutan yang menggalakkan daripada para pelajar," jelas belai lagi.
"Yang paling mengecewakan saya ialah melihat pihak pengurusan sekolah membelanjakan terlalu banyak wang untuk menceriakan sekolah tetapi mewujudkan peraturan yang ketat dan menyusahkan para guru dari segi mencetak kertas latihan dengan alasan ingin berjimat cermat." Itu pula keluhan seorang guru sekolah rendah di pinggir bandar.
"Apakh yang paling mengecewakan saya dalam melaksanakan kerja saya? Itu senang saja." Begitulah respons seorang guru perempuan bukan Melayu yang ditemui di kafeteria sekolah."Murid-murid memiliki semua 'keseronokan' di sekolah ini. Kita para guru pula memliki pelbagai macam masalah dan cabaran. Kita kerap terlupa bahawa murid-murid itu semua masih kanak-kanak. Kadang-kadang orang dewasa termasuklah guru pun sukar nak suaikan diri dengan kerenah mereka.(Penulis tidak pasti sama ada guru berkenaan serius atau bergurau).
"Yang mengecewakan saya ialah apabila mengingatkan bahawa para guru boleh dikatakan tidak ada autoriti untuk membuat sebarang keputusan yang kritikal. Sebagai contoh, kebanyakan guru ( kalau tidak semua ) 'tidak dibenarkan' oleh pengetua mengagalkan pelajar dalam semua Ujian Berasaskan Sekolah seperti Ujian Lisan, dan kerja-kerja projek yang sesetengah mata pelajaran yang diajarkan di sekolah. Kebanyakan guru tingkatan pula boleh dikatakan 'dipaksa' untuk mencatat kelakuan pelajar sebagai 'cemerlang' atau 'amat baik' dalam Sijil Berhenti Sekolah walaupun perangai pelajar yang berkenaan amat buruk. Saya tidak mahu membuat sebarang huraian di sini, tetapi saya pasti pembaca terutamanya dalam kalangan guru faham maksud saya." Itu pula respons seorang guru lelaki di salah sebuah sekolah yang berprestasi agak rendah.
"Saya berasa kecewa kerana berasa tidak adil apabila guru-guru yang mengajar di tingkatan enam diberi keistimewaan yang saya tidak faham mengapa. Sedangkan mereka bekerja seperti guru-guru lain di sekolah, malah ada yang jumlah waktu mengajar mereka kurang daripada guru-guru biasa. Bagi yang mengajar tingkatan enam bawah pula, berehat pada awal tahun kerana belum ada 'pelanggan'. Ada sesuatu yang tidak kena dalam pelaksanaan sistem serti ini tapi guru-guru tidak bising-bising kerana takut dikatakan iri hati terhadap rakan sekerja," begitu pula luahan seorang guru dari utara tanah air.
Sementara itu, seorang guru lagi menyatakan bahawa beliau berasa kecewa kerana biasanya nama-nama guru yang dicalonkan untuk bertugas mengawas peperiksaan semasa cuti sekolah adalah guru-guru yang sama saban tahun."Tentu ada yang lebih adil untuk melaksanakan tugas ini.Jumlah guru ramai, tetapi yang ditugaskan setiap tahun adalah muka-mula yang sama saja," keluh beliau.
KESIMPULANNYA, kebanyakan guru menghadapi pelbagai kekecewaan semasa menjalankan tugas harian mereka. Walau bagaimanapun, kita perlu sedar bahawa amat sukar bagi seseorang untuk berasa puas hati dalam pekerjaannya. Oleh itu, sebaik-baiknya para guru perlu menganggap semua yang boleh menyebabkan mereka berasa kecewa itu sebagai suatu cabaran dalm profesion keguruan. Sekiranya kita telah melakukan yang terbaik, tidak kira apa-apa hasil atau 'outcome' yang diperoleh, maka kita tidak sepatutnya kecewa.