GAMBAR PELOPOR SMKDUHA 2003

Depan( dari kiri ke kanan): En. Zaharin(Terkini Ketua Bidang Bahasa SMA Ulu Gadong), En. Nasharudin( Berpindah ke SEMENDA PKHEM ), Pn. Aishah(Terkini Pengetua SMKUR), Pn. Eiasyah ( Telah bersara), Tn. Hj. Abd. Rashid( berpindah ke SMKUR sebagai PK1) dan En. Taupet.
Tengah( dari kiri ke kanan): Ust. Zakiah( Telah berpindah sekolah), Pn. Safiah, Pn.Norhijah(Telah berpindah sekolah).
Belakang(dari kiri ke kanan):En. Norhisyam(Berpindah ke KPM), En. Mohammad(Terkini GPKHEM SMKTI), En.Norazmi (Pindah ke SMK Pedas), En. Idrus(Berpindah ke Maktab), En. Norazlan, En.Zulkifle, Ust. Halim(Berpindah sekolah) dan Hj. Zainurin(Bertukar ke PPD Rembau)
(Nota: Pelopor yang masih kekal di SMKDUHA ialah En. Taupet,Pn. Safiah,En. Norazlan dan En. Zulkifle)

Jumaat, September 18, 2009

8. Mesyuarat Sekolah Yang Berkesan

Mesyuarat sekolah yang berkesan
oleh: Badrunsham Dahalan
Dalam organisasi mana pun, tidak kira sekolah atau pejabat, kita sering mendengar kakitangan mengeluh mengenai mesyuarat. Di sekolah misalnya, sesetengah guru sering mengeluh seperti berikut :
  • Asyik-asyik mesyuarat. Kena tinggal kelas lagi !
  • Mesyuarat banyak kali.Tindakan tak diambil juga!
  • Tak ada orang lain. Dia saja nak cakap dalam mesyuarat.
  • Kalau keputusan dah dibuat awal-awal, tak payah mesyuarat lagi. Nanti ganggu waktu kelas.
  • Mesyuarat panjang sangat. Boring pulak tu!

Di mana-mana pun, ada bermacam-macam keluhan mengenai mesyuarat. Namun, mesyuarat tetap penting.Banyak perkara dapat dibincangkan di dalam mesyuarat. Di sekolah, mesyuarat pengurusan sekolah yang diadakan dari semasa ke semasa amat penting untuk merancang, mengenal pasti, melaksana dan menilai program yang dilaksanakan pada peringkat sekolah.

Mantan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ahmad Sarji Abd Hamid, pernah berkata mesyuarat adalah sebahagian daripada pengurusan. Mesyuarat juga diadakan untuk menyelesaikan beberapa masalah. Ia adalah satu instrumen dalam proses membuat keputusan.

Memandangkan mesyuarat perlu diadakan,maka perlu diberi perhatian dalam mengendalikan mesyuarat. Antaranya ialah:

  • Matlamat mesyuarat
  • Agenda mesyuarat yang selaras dengan matlamat
  • Isu yang dibincangkan
  • Keputusan yang perlu diambil
  • Pengurusan masa sewaktu mesyuarat

Untuk memastikan mesyuarat di sekolah berfungsi secara optimum, guru harus mengetahui matlamat mesyuarat diadakan. Sehubungan itu, surat panggilan menghadiri mesyuarat yang disertakan dengan agendanya akan memberi maklumat awal mengenai perkara yang akan dibincangkan di dalam mesyuarat nanti.

Di samping itu, guru juga akan memperoleh maklumat mengenai isu yang akan dibincangkan. Malah, ia akan memberi kesempatan kepada guru bersedia lebih awal untuk mengumpul maklumat tentang isu yang bakal dibincangkan dalam mesyuarat banti.

Selain itu, pengurusan masa teranacang sewaktu bermesyuarat juga akan menjadikan mesyuarat diadakan dalam tempoh yang ditetapkan.meskipun, ada beberapa agenda perlu diselesaikan, penggunaan masa secara optimum akan membantu melicinkan mesyuarat.Perkara ini juga dapat mengelak mesyuarat yang meleret-leret sehingga membosankan ahli mesyuarat.

Dalam hal ini, peranan pengerusi mesyuarat amatlah penting.Beliau seharusnya berkeupayaan mengendalikan mesyuarat dengan baik. Beliau perlu bertindak secara bijak, adil, telus, prihatin, dan cekap untuk menentukan keutamaan mesyuarat. Pada masa sama, setiap ahli mesyuarat hendaklah memberikan kerjasama kepada pengerusi dalam menyuarakan pandangan masing-masing.

Mesyuarat boleh menjadi medan pertelingkahan pendapat atau serangan peribadi kepada mana-mana individu. Namun perkara ini tidak seharusnya menjadi halangan besar dalam mesyuarat sekiranya pengerusi dapat mengendalikannya dengan baik, di samping setiap ahli mesyuarat jelas akan peranan masing-masing.

Di sekolah,masa yang ditetapkan untuk mengadakan mesyuarat juga boleh menjadi isi besar. Lazimnya, pengurusan sekolah cuba merancang mesyuarat di luar waktu pengajaran kelas. Misalnya, mesyuarat waktu petang untuk guru sesi pagi dan mesyaurat waktu pagi untu guru sesi petang. Alternatif lain mengadakan pada waktu Sabtu meskipun ianya adalah hari cuti mingguan.

Namun begitu, ada mesyuarat yang perlu diadakan secara ad hoc dengan notis mesyuarat diberikan dalam tempoh terdekat. Perkara ini tidak dapat dielakkan kerana keputusan segera perlu diambil atau untuk melaksanakan sesuatu arahan yang tidak boleh ditangguhkan.

Sekiranya perkara ini sering berlaku, maka guru lazimnya berada di dalam dilema sama ada hendak menghadiri mesyuarat atau meneruskan tugas pengajaran dan pembelajaran.

Dalam keadaan apa pun, mesyuarat sebenarnya boleh dijalankan sekiranya guru bersedia denga perancangan awal untuk memberikan tugasan kepada pelajarnya dengan pemantauan pengawas sekolah atau guru ganti.

Satu aspek lain yang penting dalam mesyuarat ialah minit mesyuarat. Ia adalah dokumen rasmi mesyuarat yang dicatat okeh setiausaha mesyuarat. Semua keputusan dan tindakan mesyuarat akan diperoleh dalam minit mesyuarat. Oleh itu, minit mesyuarat hendaklah dicatat dengan jelas dan hendaklah diedarkan sekurang-kurangnya dua minggu sebelum mesyuarat akan datang.

Minit mesyuarat juga akan dibentang dalam mesyuarat untuk pengesahan dan perbincangan perkara yang mungkin akan dibangkitkan dalam mesyuarat semasa. Oleh demikian, semua mesyuarat perulah meneliti minit mesyuarat terlebih dahulu sebelum bermesyuarat supaya keputusan dan tindakan yang perlu diambil dapat dilaksanakan.

Dalam hal ini, ada tiga perkara utama yang perlu diberi perhatian dalam mesyuarat iaitu keberkesanan, efisien dan ekonomikal. Mesyuarat dianggap berkesan atau efektif ia mencapai matlamat mesyuarat diadakan.

Selain itu, mesyuarat yang lancar dan efisien akan menyebabkan ahli mesyuarat terasa kelancarannya dan arah mesyuarat adalah ke arah pencapaian matlamat mesyuarat diadakan. Malah, ahli mesyuarat terasa landing dalam mesyuarat iaitu kepuasan hati selepas menghadiri mesyuarat yang dirancang dan dilaksanakan dengan begitu baik.

Disamping itu, mesyuarat yang ekonomikal menyebabkan ahli mesyuarat berasa tiada berlaku pembeaziran tenaga, masa , dan kewangan. Dengan perkataan lain, kehadiran ahli mesyuarat adalah berbaloi.

Pada pandangan saya, mesyuarat yang diadakan di sekolah boleh menjadi mesyuarat yang berkesan , efisien , ekonomikal , dan landing jika perkara berikut dapat dielakkan:

  • Berpakaian tidak kemas ketika menghadiri mesyuarat
  • Lewat
  • Meninggalkan mesyuarat tanpa makluman
  • Mengganggu pengerusi mesyuarat atau mesyuarat lain ketika mereka sedang bercakap
  • Bercakap secara sembrono
  • Bercakap-cakap ketika mesyuarat dijalankan
  • Tidak jelas matlamat mesyuarat
  • Tidak mengambil peduli akan mesyuarat sedang dijalankan

Oleh itu, jika hari ini, masih ada orang yang mengatakan mesyuarat membosankan, tidak kemana-mana atau satu pembaziran, eloklah difikirkan semula kerana mesyuarat hanyalah salah satu instrumen atau alat dalam proses membuat keputusan, sedangkan yang menggunakan instrumen itu adalah manusia yang berkeupayaan mengendalikan instrumen berkenaan dengan berkesan atau sebaliknya.

Isunya, bukanlah mesyuarat itu tidak penting, tidak berkesan atau tidak segala-galanya, tetapi yang lebih utama adalah apakah keputusan mesyuarat itu dilaksanakan, dan apakah mesyuarat itu mendorong ahlinya untuk membuat keputusan yang terbaik?

Sekiranya perkara ini tidak berlaku, barangkali ada keputusan lain yang dilaksanakan di luar keputusan mesyuarat !

Ahad, September 13, 2009

7. Motivasi Guru

GURU CEMERLANG....(GC)
- Renungan Untuk Diriku

Guru cemerlang akan sentiasa berani menyahut cabaran walaupun mereka terpaksa mengharungi kegagalan kerana mereka mengetahui bahawa setiap kesilapan yang mereka lakukan akan mereka perbaiki dan tidak akan mengulanginya semula. Mereka belajar daripada kesilapan yang lalu supaya apa yang mereka rancangkan dalam pengajaran bersama murid akan bertambah baik daripada sebelumnya. Guru yang mempunyai tabiat dan sikap 'tidak mahu belajar' daripada kesilapan yabg lalu pastinya akan mengulanginya dan akan terus menghadapi masalah demi masalah kerana mereka gagal untuk bangkit dan menyedari apa-apa yang telah mereka lakukan sebenarnya adalah penyebab kepada kegagalan mereka dalam pengajaran mereka yang lepas. Oleh itu, kita jangan cepat lupa akan sejarah lalu (kesilapan yang lalu) kerana dengan mendalami kegagalan lepaslah kita bukan sahaja mengajar dan mendidik dengan lebih baik daripada sebelumnya.

Hanya guru lemah sahaja akan memberikan pelbagai alasan apabila murid mereka gagal dengan anggapan bahawa kekurangan yang ada pada mereka 'bukan disebabkan' oleh mereka tetapi faktor-faktor lain yangn mempengaruhinya dan mendalanginya. Mereka seolah-olah menyalahkan sikap murid, sikap ibu bapa, dan sikap masyarakat kerana tidak peka terhadap muris-murid tersebut, malah yang amat dikesali adalah ada antara guru yang lemah ini apabila mengungkit dan 'memarahi' pihak pengetua kerana memberikan golongan murid lemah di dalam kelas mereka. Mereka merasa bahawa 'murid yang lemah' adalah murid yang tidak boleh diajar, murid yang menyusahkan, dan murid yang menggangu nasib mereka.Guru yang lemah ini seolah-olah hilang pegangan tentang tujuan mereka menjadi guru sehinggakan mereka merasakan 'beban yang keterlaluan' untuk mengajar murid lemah. Mereka seolah-olah tidak percaya terhadap 'perancangan dan strategi pembelajaran & pengajaran yang mereka lakukan selama ini' sehingga sanggup menidakkan keupayaan murid-murid mereka untuk maju. Mereka lebih suka 'melabelkan' murid lemah sebagai murid yang akan tetap lemah dan kegagalan murid-murid tersebut tiada kaitannya dengan teknik pengajaran mereka.

Mereka lupa bahawa guru cemerlang akan sentiasa menanam sifat 'berbesar hati' untuk mengajar murid-murid lemah. Ini adalah disebabkan mereka menggangap bahawa itulah 'nadi perjuangan mereka',iaitu untuk membantiu, mendidik, dan membimbing murid supaya menjadi lebih pandai daripada sebelumnya. Guru ini juga akan terasa kudratnya berbaloi apabila ada antara murid-murid lemah ini berjaya sehingga mendapat sekurang-kurangnya 5A dalam peperiksaan PMR dan SPM, atau cemerlang dalam STPM sehingga berjaya melangkah masuk ke universiti, maka akan 'berderau perasaan' gembira yang tidak terhingga kerana mereka dapat rasakan bahawa apa-apa yang mereka berikan selama ini dengan tunjuk ajar yang gigih, benar membantu seseorang murid yang mampu bersaing dengan murid-murid yang lain.
Walaupun 'matlamat' kita hanya ingin melihat mereka yang lemah mendapat 5A, ini tidak bermakna kita gagal kerana kita meletakkan sasaran itu lantaran kita tahu akan kemampuan mereka. Sekiranya kita tidak berusaha, mereka mungkin mendapat 2A sahaja. tetapi berkat kesungguhan dan kegigihan kita sebagai guru yang cemerlang menabur bakti, murid tersebut telah berjaya. Di situlah kekuatan guru cemerlang kerana mereka akan merasa 'gembira apabila muridnya barjaya.'

Jesteru, guru cemerlang akan sentiasa memandang serius akan setiap kegagalan yangdihadapi mereka kerana mereka tahu bahawa setiap pepriksaan yang bakal dilalui oleh murid mereka adalah satu strategi bagi mengelakkan kesilapan yang lalu. Setiap masalah yang dihadapi oleh murid mereka dalam memahami soalan bagi sesuati topik akan digunakan sebagai'bekalan' untuk mereka memperbaikinya dan mempermudahkan corak pengajaran mereka untuk lebih senang difahami oleh murid mereka.
Disamping itu, guru cemerlang bukan sahaja mengorbankan masa untuk mengajar ,murid mereka, malah mereka juga akan mencabar minda mereka untuk membentuk 'sistem pengajaran yang dinamik yang benar-benar 'mudah difahami' oleh murid. Untuk membentuk sistem pengajaran tersebut sudah pasti memerlukan pengolahan,perancangan, dan penyusunan yang gigih dan mencabar kerana mereka akan membentuk diri mereka supaya menjadi lebi baik daripada dahulu dalam penyampaian tanpa mengulangi kesilapan yang lalu. Mereka tidak akan menggunakan 'seribu alasan' hanya kerana ingin menutup malu kegagalan mereka, malah mereka akan menjadikan kegagalan itu sebagai strategi untuk maju ke hadapan. Persoalannya, sejauh manakah kita sebagai pendidik mampu menjadikan kegagalan kita ataupun kegagalan murid dalam menjawab soalan peperiksaan yang lalu sebagai 'suatu strategi' untuk tidak mengulanginya?
(Oleh: Prof. Madya Dr. Mohd Sofian Omar Fauzee, UPM)

6. 40 Tanda Sekolah Anda Hebat...

40 Tanda Sekolah Anda Hebat
Syabas kepada mana-mana sekolah yang memenuhi ciri-ciri seperti yang disenaraikan ini:


  1. Keharmonian dan kemesraan dalam kalangan staf anda sangat jelas kelihatan.
  2. Semua warga sekolah tidak berasa tertekan oleh pihak pengurusan sekolah.
  3. Semua warga sekolah mempunyai cinta dan sayang akan sekolah mereka.
  4. Terdapat kemesraan dalam interaksi antara sesama guru dan para pelajar.
  5. Pihak sekolah mengambil berat tentang pelajar yang lemah dan sentiasa mengadakan pelbagai program yang berkesan untuk membantu mereka.
  6. Tukang kebun menanam pokok-pokok bunga yang menarik, tanpa arahan pihak sekolah.
  7. Guru-guru menggunakan kemudahan komputer dan internet dengan sebaik-baiknya.
  8. Pelajar dan guru sentiasa bercakap tentang kebaikan sekolah itu dengan rakan-rakan mereka apabila bercakap tentang sekolah.
  9. Anda sering melihat para pelajar duduk-duduk di tempat-tempat rehat yang disediakan untuk mentelaah atau berbincang mengenai pelajaran mereka.
  10. Guru-guru prihatin tentang kebersihan di dalam bilik guru.
  11. Pelajar yang tamat belajar di sekolah anda berasa sedih untuk meninggalkan sekolahnya.
  12. Pihak sekolah mengambil berat mengenai pelajar-pelajar yang miskin dan sentiasa berikhtiar untuk membantu mereka.
  13. Guru-guru tidak berebut-rebut untuk pulang apabila loceng akhir berbunyi.
  14. Para guru sanggup menjalankan kelas tambahan untuk pelajar-pelajar yang memerlukan perhatian yang lebih tanpa mengharapkan sebarang imbuhan.
  15. Seluruh warga sekolah turut bersimpati sekiranya terjadi sesuatu mala petaka atau kemalangan dalam kalangan warga sekolah.
  16. Ucapan salam(menurut agama masing-masing) diamalkan oleh semua warga sekolah dengan ikhlas termasuklah sesama pelajar.
  17. Pihak sekolah amat mementingkan ciri-ciri keselamatan di kawasan sekolah.
  18. Guru-guru mengamalkan pemberian hadiah-hadiah kecil untuk pelajar-pelajarnya yang berjaya dalam sesuatu bidang.
  19. Pelajar-pelajar mengutip sampah dan membuangnya ke dalam tong sampah tanpa disuruh atau dipaksa.
  20. Semua warga sekolah sentiasa berpakaian kemas.
  21. Pelajar yang lebih dewasa sentiasa membantu pelajar yang lebih muda daripadanya.
  22. Guru-guru menziarahi pelajar yang malang di hospital. Pelajar juga begitu terhadap guru-guru mereka.
  23. Sekali-sekala kelihatan guru makan semeja dengan pelajr-pelajar.
  24. Hubungan ibu bapa dengan pihak pengurusan sekolah sangat akrab.
  25. Ibu bapa terlibat dalam hal-hal yang berkaitan dengan aktiviti untuk menceriakan kawasan sekolah.
  26. Pihak sekolah tidak suka membazirkan masa dengan apa-apa aktiviti yang tidak mendatangkan faedah. Oleh itu semua aktiviti dirancang dengan teliti dengan mementingkan faktor keberkesanannya.
  27. Pelajar-pelajar menghulurkan hadiah kepada guru-guru pada Hari Guru, Hari Raya, Tahun baru dan sebagainya.
  28. Pelajar pintar sentiasa tidak keberatan untuk membantu pelajar yang lemah.
  29. Pihak ibu bapa menganjurkan jamuan untuk guru-guru sebagai ucapan terima kasih sesuatu kejayaan anak-anak mereka.
  30. Kafeteria sekolah sering dikunjungi oleh ibu bapa untuk bersarapan atau makan tengah hari.
  31. Guru-guru dan pelajar-pelajar di sekolah anda tidak mempunyai semangat perkauman dan sentiasa mengamalkan nilai keadilan dalam tindakan mereka.
  32. Terdapat kerjasama daripada komuniti di sekitar sekolah anda. Misalnya,pemain bola sepak yang terkenal sering memberikan tunjuk ajar kepada pasukan bola sepak anda.
  33. Terdapat kerjasama daripada ibu bapa. Misalnya , membantu dan membimbing pelajar dalam masalah-masalah kewangan,pelajaran dan sebagainya.
  34. Pelajar-pelajar dan guru-guru menyanyikan lagu Negaraku dengan besemangat dalam perhimpunan mingguan.
  35. Pihak sekolah kerap mengadakan program yang melihatkan kerjasasama antara guru dengan pelajar seperti kerja-kerja gotong-royong untuk menjalankan sesuatu aktiviti demi kepentingan bersama.
  36. Program bacaan dijalankan dengan jayanya.
  37. Pihak kafeteria sering mengadakan jamuan percuma untuk guru-guru bagi menunjukkan kegembiraannya atau untuk menyambut majlis tertentu.
  38. Terdapat dalam kalangan pelajar yang mewakili negeri ke sesuatu pertandingan di peringkat kebangsaan.
  39. Semua warga sekolah amat prihatin dan menyambut baik Kempen Kita Semula, serta mengamalkannya di sekolah.
  40. Anda mempunyai kumpulan pemain muzik atau kumpulan koir yang baik di sekolah anda.

( Sumber: Majalah Pendidik-Bil.10 Nov.-Dis. 2004)

5. Redha Akan Anugerah Allah, Menjadikan Anda Orang Terkaya di Dunia..

Redha Akan Anugerah Allah, Menjadikan Anda Orang terkaya di Dunia

Makna daripada sikap di atas adalah bahawa anda harus rela hati dan bersyukur dengan setiap pemberian Allah, baik yang berupa bentuk tubuh, harta, anak, tempat tinggal ataupun bakat kemampuan. Dan makna inilah yang tersirat dari ayat Al-Quran seperti berikut yang bermaksud:
"........sebab itu berpegang teguhlah kepada apa yang Aku berikan kepadamu dan hendaklah kamu termasuk orang-orang yang bersyukur." (Al-A'raf:144)

Sebahagian besar ulama salafus-soleh dan generasi awal umat ini adalah terdiri daripada orang-orang fakir miskin. Meraka tidak memiliki harta yang banyak,rumah yang indah,kenderaan yang baik dan juga pengawal peribadi. Namu demikian, mereka ternyata mampu membuat kehidupan ini jesteru lebih bermakna dan membuat diri mereka dan masyarakatnya lebih bahagia. Yang demikian itu, adalah kerana mereka sentiasa memanfaatkan setiap pemberian Allah di jalan yang benar. Dan kerana itu pula,umur, waktu,dan kemampuan atau ketrampilan mereka menjadi penuh berkat.

Sebaliknya terdapat sekelompok manusia yang telah dikurnai Allah dengan berbagai jenis ke nikmatan berupa harta yang melimpah, anak yang ramai, dan nikmat yang lainnya, tetapi semua itu jesteru menyebabkan diri mereka sentiasa merasa penuh dengan penderitaan, kecemasan dan kegelisahan. Ini adalah kerana mereka telah menyimpang dari fitrah yang suci dan tuntunan hidup yang benar. Ini menjadi bukti nyata bahawa segala material(kekayaan, anak , pangkat, jawatan, kehormatan dan sebagainya ) bukanlah merupakan satu-satunya alat yang dapat menyelesaikan segala persoalan.

Lihatlah, betapa ramai sarjana atau doktor yang tidak dapat memberikan pendapat , pemikiran dan pengaruh yang cukup ang bagi masyarakatnya. Namun sebaliknya; terdapat manusia yang dengan ilmu dan kemampuannya yang sangat terbatas, jesteru mampu membina sungai yang sentiasa mengalirkan manfaat, kebaikan, dan kemakmuran bagi sesama manusia.

Sekiranya, anda inginkan kebahagiaan, maka terimalah dengan rela hati bentuk tubuh yang telah Allah kurniakan untuk anda,redhalah dengan keluarga yang anda miliki , suara anda,kemampuan daya ingatan dan pemahaman anda, dan seberapapun penghasilan yang anda terima! Bahkan, orang yang memelihara sifat zuhud akan bersifat lebih daripada itu. Mereka akan berkata kepada anda: "Sayugianya, anda berlapang dada terhadap apa yang anda miliki , meskipun ianya sesedikit dan janganlah anda merasai kekurangan."

Bahkan kebanyakan para Nabi dan Rasul Allah pernah menjadi penggembala kambing. Walau pun mereka termasuk manusia-manusia pilihan Allah dan sebaik-baik manusia , namun pekerjaan mereka tidak jauh berbeza daripada manusia yang lain pada umumnya seperti Nabi Daud 'Alaihissalam adalah seorang tukang besi, Nabi Zakaria 'Alaihissalam seoarang tukang kayu , dan Nabi Idris ' Alaihissalam seoarang seorang tukang jahit. Kita tahu bahawa mereka adalah orang-orang pilihan.

Ini menunjukkan bahawa harga diri anda ditentukan oleh kemampuan, amal soleh, kemanfaatan dan akhlaq yang anda miliki. Oleh kerana itu, janganlah anda bersedih memiliki wajah yang kurang cantik, kekurangan harta, anak yang sedikit, dan rumah yang tidak indah! Terimalah setiap pemberian Allah dengan penuh kerelaan hati!

"...Kami telah menentukan antara mereka penghidupan mereka dalam kehidupan dunia.... " (Az-Zukhruf:32)

(Oleh:Dr. 'Aidh b Abdullah Al-Qarni)

Jumaat, September 11, 2009

4. Apakah yang Mengecewakan Cikgu ?

Apakah yang Mengecewakan Cikgu?
Oleh: Ibrahim Subhan ( Majalah Ehwal Pendidikan/Bil.22/20009(February)

Dalam menjalankan tugas harian kita sebagai guru, tentu ada pelbagai keadaan yang menyebabkan kita kecewa. EP telah mengajukan soalan "Apakah yang paling mengecewakan Cikgu semenjak menceburi bidang keguruan ini?" kepada 40 orang guru di 10 buah sekolah di 4 buah negeri. 14 orang responden mengatakan bahawa mereka tidak mempunyai sebarang kecewa sepanjang menjadi guru. Oleh sebab respons bagi soalan ini dianggap sensitif pihak EP tidak tidak akan menyiarkan nama responden.Semua pendapat yang diberikan adalah peribadi yang tidak mencerminkan pendapat semua guru secara tuntas, tetapi wajar direnungi bersama.

"Ada sesuatu yang ingin saya katakan sebagai menjawab soalan saudara tetapi kurang sedap didengar. Yang paling mengecewakan saya ialah apabila menerima arahan daripada pihak-pihak atasan untuk melaksanakan sesuatu program atau aktiviti sama ada kurikulum atau kokurikulum tetapi peruntukan kewangan tidak diberikan. Program ini mungkin dalam bidang sukan atau apa-apa yang berbentuk pertandingan.Saya tidak perlukan huraikan dengan lebih lanjut kerana pasti Pengetua dan Guru Besar seperti saya sedia maklum. Harapan yang diletakkan oleh pihak Jabatan semakin meninggi, tetapi bantuan semakin menurun." Begitulah repons pertama daripada seorang Pengetua di sekolah rendah pinggir bandar yang ditemui.

"Yang paling mengecewakan saya ialah apabila melihat segelintir ibu bapa yang tidak mengambil berat tentang pendidikan anak-anak mereka. Golongan ini juga tidak memberikan kerjasama langsung kepada pihak sekolah dalam apa-apa program yang dijalankan, sedangkan kita(pihak sekolah) berkorban masa dan wang ringgit demi kebaikan anak-anak mereka juga. Mereka tidak sedar bahawa sokongan ibu bapa amat penting untuk memastikan anak-anak berjaya dalam pendidikan. Ibu bapa di negera kita ini dianggap bersalah di sisi undang-undang jika tidak menyekolahkan anak-anak mereka. Mungkin sudah tiba masanya digubal undang-undang yang boleh diambil tindakan terhadap ibu bapa dengan sengaja cuai, atau tidak mengambil berat atau tidak memberikan kerjasama kepada pihak sekolah," kata seorang sekolah menengah yang agak popular di ibu kota.

Seorang guru Bahasa Inggeris yang mengajar pelajar Tingkatan Lima pula antara lain mengatakan :"Saya berasa kecewa apabila ibu bapa menyalahkan guru-guru apabila anak-anak mereka gagal dalam peperiksaan atau tidak menunjukkan prestasi seperti yang diharap-harapkan. Lebih mengecewakan saya ialah apabila anak-anak mereka berjaya mendapat keputusan yang cemerlang, bukan guru sekolah anaknya yang mendapat pujian atau pengiktirafan, sebaliknya guru-guru yang mengajar di pusat tuisyen yang di angkat."

Seorang pengetua yang sempat ditemui pula mengatakan bahawa beliau berasa kecewa apabila melihat ibu bapa yang bukan sahaja mengambil sikap menyebelahi anak-anak mereka apabila berlaku sesuatu yang berkaitan dengan masalah disiplin murid, malah menyalah pihak sekolah pula dengan alasan cuai atau tidak prihatin terhadap masalah anak-anak mereka.

Seorang pengetua di sebuah sekolah di luar bandar pula mengatakan bahawa yang paling mengecewakan beliau ialah apabila pihak sekolah kehilangan mana-mana pelajar. Kehilangan itu bermaksud pelajar yang tidak mahu datang ke sekolah setelah pelbagai usaha dijalankan oleh pihak sekolah.

"Saya menganggap pihak sekolah telah kehilangan pelajar ini dan tidak dapat menyelamatkannya, lebih-lebih lagi pihak ibu bapanya sendiri tidak melakukan sebarang usaha untuk mengembalikan anak mereka itu ke sekolah. Ada pelajar yang kita tahu melalui pengalaman bahawa sangat berpotensi untuk cemerlang dalam pelajaran jika diberi peluang, tetapi ada yang di luar kawalan kita sehingga kita tidak tahu punca yang menyebabkan pelajar ini hanyut dan 'membazir' hidupnya begitu sahaja," kata beliau lagi.

"Saya juga pernah berada dalam situasi seperti itu.Ketika di tingkatan empat dahulu pada tahun 70-an, prestasi saya sangat teruk. Saya kerap gagal dalam hampir semua mata pelajaran. Tetapi nasib saya baik. Guru-guru saya banyak memberikan nasihat dan mendorong saya untuk cuba memberikan tumpuan yang lebih terhadap pelajaran saya. Mereka seolah-olah tidak kenal erti berputus asa untuk memberikan semangat kepada saya sehingga akhirnya saya sedar an semasa di tingkatan lima prestasi saya meningkat dengan mendadak sehingga saya pernah mendapat temapt pertama di dalam kelas.Kini apabila saya melihat ada pelajar yang seperti saya suatu ketika dahulu saya akan cuba membantu mereka.Apabila tidak berjaya saya sangat kecewa,"kata beliau sambil mengimbau kenangan lama.

Seorang guru di sekolah menengah harian di bandar berkata bahawa beliau berasa amat kecewa sekiranya para pelajar ponteng kelas tambahan.Pelajar memberikan pelbagai alasan termasuklah tidak ada kenderaan dan ibu bapa enggan menghantar mereka ke kelas tambahan ujung minggu. Ada juga yang memberikan alasan mereka perlu pergi ke kelas tuisyen dan ada juga yang berkata bahawa mereka perlu membantu ibu bapa mereka di gerai dan sebagainya."Saya lebih kecewa kerana pihak pengurusan sekolah masih mengarahkan para guru mengadakan kelas tambahan pada hari minggu walaupun sudah tahu tidak ada sambutan yang menggalakkan daripada para pelajar," jelas belai lagi.

"Yang paling mengecewakan saya ialah melihat pihak pengurusan sekolah membelanjakan terlalu banyak wang untuk menceriakan sekolah tetapi mewujudkan peraturan yang ketat dan menyusahkan para guru dari segi mencetak kertas latihan dengan alasan ingin berjimat cermat." Itu pula keluhan seorang guru sekolah rendah di pinggir bandar.

"Apakh yang paling mengecewakan saya dalam melaksanakan kerja saya? Itu senang saja." Begitulah respons seorang guru perempuan bukan Melayu yang ditemui di kafeteria sekolah."Murid-murid memiliki semua 'keseronokan' di sekolah ini. Kita para guru pula memliki pelbagai macam masalah dan cabaran. Kita kerap terlupa bahawa murid-murid itu semua masih kanak-kanak. Kadang-kadang orang dewasa termasuklah guru pun sukar nak suaikan diri dengan kerenah mereka.(Penulis tidak pasti sama ada guru berkenaan serius atau bergurau).

"Yang mengecewakan saya ialah apabila mengingatkan bahawa para guru boleh dikatakan tidak ada autoriti untuk membuat sebarang keputusan yang kritikal. Sebagai contoh, kebanyakan guru ( kalau tidak semua ) 'tidak dibenarkan' oleh pengetua mengagalkan pelajar dalam semua Ujian Berasaskan Sekolah seperti Ujian Lisan, dan kerja-kerja projek yang sesetengah mata pelajaran yang diajarkan di sekolah. Kebanyakan guru tingkatan pula boleh dikatakan 'dipaksa' untuk mencatat kelakuan pelajar sebagai 'cemerlang' atau 'amat baik' dalam Sijil Berhenti Sekolah walaupun perangai pelajar yang berkenaan amat buruk. Saya tidak mahu membuat sebarang huraian di sini, tetapi saya pasti pembaca terutamanya dalam kalangan guru faham maksud saya." Itu pula respons seorang guru lelaki di salah sebuah sekolah yang berprestasi agak rendah.

"Saya berasa kecewa kerana berasa tidak adil apabila guru-guru yang mengajar di tingkatan enam diberi keistimewaan yang saya tidak faham mengapa. Sedangkan mereka bekerja seperti guru-guru lain di sekolah, malah ada yang jumlah waktu mengajar mereka kurang daripada guru-guru biasa. Bagi yang mengajar tingkatan enam bawah pula, berehat pada awal tahun kerana belum ada 'pelanggan'. Ada sesuatu yang tidak kena dalam pelaksanaan sistem serti ini tapi guru-guru tidak bising-bising kerana takut dikatakan iri hati terhadap rakan sekerja," begitu pula luahan seorang guru dari utara tanah air.

Sementara itu, seorang guru lagi menyatakan bahawa beliau berasa kecewa kerana biasanya nama-nama guru yang dicalonkan untuk bertugas mengawas peperiksaan semasa cuti sekolah adalah guru-guru yang sama saban tahun."Tentu ada yang lebih adil untuk melaksanakan tugas ini.Jumlah guru ramai, tetapi yang ditugaskan setiap tahun adalah muka-mula yang sama saja," keluh beliau.

KESIMPULANNYA, kebanyakan guru menghadapi pelbagai kekecewaan semasa menjalankan tugas harian mereka. Walau bagaimanapun, kita perlu sedar bahawa amat sukar bagi seseorang untuk berasa puas hati dalam pekerjaannya. Oleh itu, sebaik-baiknya para guru perlu menganggap semua yang boleh menyebabkan mereka berasa kecewa itu sebagai suatu cabaran dalm profesion keguruan. Sekiranya kita telah melakukan yang terbaik, tidak kira apa-apa hasil atau 'outcome' yang diperoleh, maka kita tidak sepatutnya kecewa.

3. Pelopor SMK Dato' Undang Haji Adnan

Barisan di antara guru yang melopori SMK Dato' Undang Haji Adnan pada tahun 2003.
Depan kiri ke kanan: En. Zaharin, En. Nasharuddin, Pn. Aisyah, Pn. Eiasyah, Tn. Hj. Rashid, En. Taupet.
Tengah kiri ke kanan : Ust. Zakiah, Pn. Safiah, Pn. Norhijah.
Belakang kiri ke kanan: En. Norhisyam, En. Mohammad, En. Norazmi, En. Idrus, En. Azlan, En. Zulkifli, Ust. Halim, Tn. Hj. Zainurin.

2.Ahli keluarga saya.

Ibu saya bernama Zaitun bt Sarip ( dukung Anis) berasal dari Kampung Tanjung , Kota , Negeri Sembilan . Isteri saya bernama Neida bt Abu Hassan berasal dari Kampung Ulu Jempul , Jengka Pahang dan sekarang ini beliau mengajar di SMK Agama Pedas matapelajaran Biologi. Anak sulung bernama Mohammad Hafiizhuddin (baju belang) manakala anak kedua pula bernama Mohammad Harith Asyraf (di belakang). Anak ketiga Ain Raihanah dan keempat bernama Anis Maisarah.

1.Pendahuluan

Bersyukur kepada Allah s.w.t dengan izinNya, saya telah dapat membina blog ini. Inilah blog pertama saya. Blog ini ringkas dan mudah untuk dibaca. Antara tujuan blog ini dibina ialah untuk saya berkongsi ilmu dengan pelajar-pelajar SMKDUHA khususnya dan rakyat Malaysia amnya. Dengan perkongsian ini sedikit sebanyak akan memberi manfaat kepada semua pihak termasuk ahli keluarga saya. Memang tidak dinafikan sudah lama saya ingin membina blog saya sendiri. Dan Alhamdullillah berjaya juga saya membinanya walaupun ianya ringkas. Dan akhir kata, semoga blog ini dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca. Selamat melayari blog ini. Jika ada kekurangan saya minta maaf dan saya akan cuba memperbaikinya. Wassalam.
Mr. Mohammad b Said.
SMK Dato' Undang Haji Adnan.