GAMBAR PELOPOR SMKDUHA 2003

Depan( dari kiri ke kanan): En. Zaharin(Terkini Ketua Bidang Bahasa SMA Ulu Gadong), En. Nasharudin( Berpindah ke SEMENDA PKHEM ), Pn. Aishah(Terkini Pengetua SMKUR), Pn. Eiasyah ( Telah bersara), Tn. Hj. Abd. Rashid( berpindah ke SMKUR sebagai PK1) dan En. Taupet.
Tengah( dari kiri ke kanan): Ust. Zakiah( Telah berpindah sekolah), Pn. Safiah, Pn.Norhijah(Telah berpindah sekolah).
Belakang(dari kiri ke kanan):En. Norhisyam(Berpindah ke KPM), En. Mohammad(Terkini GPKHEM SMKTI), En.Norazmi (Pindah ke SMK Pedas), En. Idrus(Berpindah ke Maktab), En. Norazlan, En.Zulkifle, Ust. Halim(Berpindah sekolah) dan Hj. Zainurin(Bertukar ke PPD Rembau)
(Nota: Pelopor yang masih kekal di SMKDUHA ialah En. Taupet,Pn. Safiah,En. Norazlan dan En. Zulkifle)

Isnin, Oktober 05, 2009

12. Pengetua Baru : Langkah Awal

Pengetua Baru : Langkah Awal
"Apakah antara langkah pertama yang perlu dilakukan oleh pengetua atau guru besar apabila dia ditugaskan di sesebuah sekolah yang baru baginya?"
Yang berikut merupakan antara tip-tip atau rumusan yang boleh diambil :
1. Menjalin Hubungan dengan Guru
Antara tindakan awal yang perlu dilakukan apabila anda dilantik menjadi pengurus di sesebuah sekolah ( Pengetua atau Guru Besar ) ialah berjalan-jalan di sekeliling sekolah itu untuk mendapatkan idea tentang suasana dan budaya sekolah yang berkenaan. Adakah sekolah itu sebuah sekolah yang ceria dan aman atau 'mati' dan senyap ?
Selain itu, anda juga perlu segera berkenalan dengan tenaga pengajar di situ sambil melihat-lihat darjah mereka untuk mendapat idea tentang minat mereka. Tentu ada sesuatu yang dapat dijadikan clue atau petunjuk lebih-lebih lagi jika anda berbual-bual dengan mereka tentang apa-apa yang perlu dilakukan untuk membaiki keadaan bilik darjah, bilik-bilik khas yang lain, dan persekitaran sekolah.
Anda juga perlu cepat-cepat mengetahui nama-nama guru anda. Gunakan masa terluang untuk menghafal nama-nama mereka. Mungkin majalah sekolah dapat membantu anda dalam hal ini atau panggil sahaja guru-guru itu seorang demi seorang untuk mengenali diri mereka, serta potensi mereka. Jangan sekali-kali cuba mengenali seseorang guru itu dengan bertanya tentang dirinya daripada guru-guru lain. Bayangkan sekiranya anda mendapat maklumat daripada seseorang yang 'kurang senang' tentang guru yang berkenaan! Kebanyakan pengurus sekolah yang berkesan merupakan pengetua atau guru besar yang mengenali betul-betul semua guru dan staf anda.
Antara soalan yang menarik untuk diajukan kepada mereka semasa sesi perbualan itu termasuklah: "Apakah program yang berkesan dijalankan di sekolah ini? Apakah kekuatan sekolah ini ? Apakah kelemahan sekolah ini ? Sekiranya cikgu ditempat saya, apakah tindakan Cikgu yang akan diutamakan ? " Yang penting dalam perbualan itu ialah sikap anda yang ingin mendengar pendapat mereka.
Semasa pertemuan dengan staf untuk memperkenalkan diri anda, elakkan sikap masuk bakul angkat sendiri. Selain itu, elakkan daripada berkata sesuatu yang tidak sanggup anda lakukan. Sebaik-baiknya disebalik menyatakan prinsip yang anda guna pakai dalam kehidupan seharian anda, nyatakanlah harapan anda kepada staf.
Antara kunci kejayaan yang digunakan oleh kebanyakan pengurus sekolah ialah menjalinkan perhubungan yang positif dan dapat berkomunikasi dengan berkesan. Di samping itu, anda perlu sedar bahawa terdapat juga isu-isu tertentu di sekolah itu yang tidak diperkatakan atau tidak ingin diperkatakan. Cuba dapatkan isu yang tidak ingin diperkatakan atau dibincangkan itu secara senyap-senyap. Hal ini penting kerana sekiranya anda ingin mengurus sekolah itu dengan baik, tidak ada apa-apa yang sepatutnya disembunyikan daripada pengetahuan anda.
2. Menjalin Hubungan dengan Ibu Bapa
Pengurus sekolah yang baik tidak berhenti setakat mengenali guru-guru dan stafnya sahaja. Itu hanyalah permulaan! Mewujudkan hubungan dengan para pelajar dan komuniti sekolah yang lain juga adalah penting.
Berkenalan dengan Ahli Jawatankuasa PIBG sekolah anda dan mungkin anda dapat berbincang tentang pertemuan pertama dengan ibu bapa dalam majlis minum teh semata-mata untuk melihat sendiri secara dekat golongan ibu bapa yang perlu anda hadapi dari semasa ke semasa. Cubalah berbual-bual dengan sebanyak yang mungkin dalam kalangan mereka. Mungkin ada sesuatu yang dapat dijadikan renungan semasa anda duduk di meja anda keesokkannya. Lagipun, pelajar dan ibu bapa mereka lebih lama berada di sekolah itu dan anda adalah orang baru. Jadi, anda perlu mengenali untuk menjadi sebahagian daripada mereka. Sekiranya anda tidak dapat melakukan perkara ini dengan baik, anda mungkin sentiasa dianggap sebagai 'orang luar' yang cuba tunjuk pandai di sekolah anak-anak mereka. Ada pendapat mengatakan bahawa menjalinkan hubungan baik dengan ibu bapa samalah dengan menyimpan wang di bank yang boleh anda keluarkan semula bila-bila diperlukan.
3. Menjalinkan Hubungan dengan Pelajar dan Komuniti
Antara cara terbaik untuk menjalinkan hubungan dengan para pelajar di sekolah anda adalah dengan menghadirkan diri anda di tempat-tempat yang menjadi tumpuan mereka pada masa-masa tertentu seperti di kantin pada waktu rehat, di dewan semasa terdapat program-program tertentu, di padang ketika mereka bersenam, dan sebagainya. Ya , anda ada tugas lain di pejabat, tetapi itu bukan alasannya kerana anda tidak perlu ada di tempat-tempat itu setiap hari. Lagipun, yang duduk di meja di dalam pejabat sepanjang masa bukanlah pengurus sekolah yang baik. Mungkin lebih baik jika dia memilih jawatan ketua kerani sahaja!
Berjumpa dan berkenalanlah dengan ketua murid dan beberapa orang pelajar lagi yang agak aktif di sekolah itu. Adakan perjumpaan dengan pengawas seklolah dan ketua kelas. Nyatakan harapan anda dan dengan pendapat mereka dan jangan merendah-rendahkan pendapat mereka walaupun bagi anda pendapat yang diajukan itu keanak-anakan atau tidak matang kerana mereka memang belum matang! Yang penting adalah mesej dan mungkin aduan yang ingin disampaikan.
Semasa pertemuan pertama dengan para pelajar di tapak perhimpunan atau di dewan perhimpunan, perkenalkan diri anda tanpa perlu meninggikan suara. Peringatkan mereka tentang peraturan sekolah yang sedia ada, iaitu sebelum anda tiba ke sekolah itu lagi. Nyatakan harapan anda, harapan pihak guru, dan harapan pihak ibu bapa terhadap para pelajar di sekolah itu. Banyakkan perkataan 'kita' daripada perkataan 'saya'.

(Sumber bahan: Ehwal Pendidikan.Bil13/2008/April/hal. 2o-22)